Pentadbiran
baginda di Tempasuk adalah dibantu oleh anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja
Alam dan Raja Muda Umak di samping beberapa pembesar beliau yang dikenali
sebagai Datuk Sikiolo dan Tok Lukus. Menurut sumber keluarga ini, wilayah
Tempasuk pada masa itu meliputi Kuala Sungai Tuaran dan Teluk Marudu. Hujah ini
juga mempunyai kekuatan kerana semasa Pretymen dihantar ke Tempasuk sebagai
residen pada tahun 1879, maka pada masa itu Tempasuk dianggap oleh barat
sebagai sebuah kerajaan atau negeri.Antara peranan yang disumbangkan oleh Raja
Ismail di nusantara ialah membantu Sultan Mahmud Shah menyerang Belanda di Riau
Johor.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1781, di mana Sultan Mahmud Shah yang
memerintah Riau Johor pada ketika itu telah menghantar utusan yang bernama
Encik Talib ke Tempasuk untuk menyampaikan permintaan baginda kepada Raja
Ismail, agar Tempasuk menghantar bantuan ketenteraan untuk menyerang Belanda di
Tanjung Pinang. Baginda Sultan Mahmud Shah juga menyatakan bahawa Raja Tempasuk
tersebut ada kaitan kekeluargaan dengan beliau. Maka itu, baginda Sultan Mahmud
Shah tidak segan-silu untuk memohon bantuan ketenteraan daripada orang Iranun
di Tempasuk untuk mengusir Belanda di Tanjung Pinang.
Oleh kerana permintaan
ini datang daripada Sultan Mahmud, maka Raja Ismail sendiri telah mengetuai
angkatan tentera Tempasuk yang berjumlah sekitar lebih tiga puluh buah kapal
dan perahu. Menurut sumber tempatan ukuran kapal mereka ini lebih kurang
sembilan puluh kaki panjang yang boleh membawa enam puluh tan muatan dan boleh
memuatkan seramai lebih satu ratus lima puluh orang. Perjalanan mereka ke Riau
Johor tidaklah memakan masa yang lama kemahiran di laut membantu angkatan itu
sampai dengan segera. Kapal dan perahu ini dilengkapi dengan peralatan senjata
seperti meriam atau lebih dikenali sebagai ‘laila’, bersandarkan kekuatan dan
kecekapan, maka tentera Raja Ismail pun belayar di Laut China Selatan,
Perjalanan mereka ini tidak menghadapi masalah dan mereka sampai ke Riau Johor
dengan selamat.
Apabila Raja Ismail dan tenteranya sampai di Riau Johor, maka
mereka diberi taklimat berkaitan kedudukan pihak Belanda di Tanjung Pinang.
Setelah itu tentera Iranun pun bersiap sedia menyerang kedudukan Belanda di
Tanjung Pinang, dan dalam serangan ini orang Iranun telah berjaya mengalahkan
Belanda dan ramai tentera Belanda yang terkorban dan dalam serangan tersebut
difahamkan Raja Ismail juga turut terkorban kerana semasa majlis meraikan
kemenangan itu Raja Ismail tidak lagi disebut sebagai ketua yang diraikan,
tetapi yang disebut hanya anak-anaknya iaitu Raja Tebuk, Raja Alam dan Raja
Muda.
Angkatan ini telah diberi
persalinan oleh Sultan Mahmud sebagai menghargai bantuan Tempasuk terhadap
baginda dan peristiwa ini dinyatakan berlaku pada 1215 hijrah.Selepas itu, Raja
Tebuk dan Raja Alam memohon untuk kembali ke Tempasuk, manakala Raja Muda Umak,
Datuk Sikolo dan Tok Lukus menetap di Riau Johor untuk memperhambakan diri
kepada baginda Sultan Mahmud. Menurut sumber keluarga Raja Tebuk, Raja Alam
tidak kembali ke Tempasuk tetapi beliau telah mengembara di kepulauan
Nusantara. Faktor ini disebabkan Raja Ismail telah tiada dan pewaris seterusnya
terhadap pentadbiran di Tempasuk diserahkan kepada Raja Tebuk. Maka Raja Tebuk
pun memerintah Tempasuk dengan memakai gelaran sebagai Sultan Satebuk.
Selain
itu, pentadbiran Raja Ismail di Tempasuk juga ada kaitannya dengan kegiatan
merompak kapal-kapal dagang barat yang memasuki perairan Nusantara. Kedudukan
Kuala Tempasuk yang sukar dimudiki merupakan strategi Raja Ismail untuk
mengelak serangan balas daripada pihak musuh. Serangan Datu Tating ke atas
Pulau Balambangan pada 5 Mac 1775 telah melibatkan pengikut Raja Ismail, di
mana seramai 300 orang etnik Suluk dan Iranun telah menyerang pulau tersebut
dan persefahaman antara dua etnik ini telah menggugat kedudukan Syarikat India
Timur Inggeris (EEIC) yang cuba menjadikan Pulau Balambangan sebagai pusat
perniagaan penting seperti Singapura (1819), Pulau Pinang (1786) dan Melaka
(1824) (Baszley Bee, 2004:51).
Semasa serangan ini pihak EEIC yang mempunyai
kekuatan tentera seramai 100 orang dan dua buah kapal iaitu Endavor dan Pheonix
telah mengalami kekalahan teruk dan banyak kemusnahan yang berlaku (Baszley
Bee, 2004: 55). Akibatnya pulau Balambangan telah ditinggalkan oleh pihak EEIC
kerana kedudukannya yang tidak selamat dan berada di wilayah yang mana
masyarakatnya sangat kuat menentang Barat. Menurut Datu Tumai, orang Iranun
merupakan salah satu etnik di Nusantara yang amat aktif menentang imperialism
Barat. Manakala di Tungku orang Iranun juga turut melakukan penentangan, di
mana penentangan ini diketuai oleh Raja Laut yang menyerang kapal-kapal
Sepanyol dengan kekuatan tentera sekitar 1000 orang (Warren,
2002:160).Keterlibatan Raja Ismail serta orang Iranun Tempasuk ketika serangan
Pulau Balambangan diperkuatkan melalui pertemuan antara pelayar-pelayar Iranun
dan Suluk di Tanjung Simpang Mengayau. Menurut Pinjaman Hasin, para pengembara
atau pelayar Iranun dan Suluk akan bertemu di Tanjung Simpang Mengayau untuk
merancang strategi bagi menyerang kapal-kapal barat yang memasuki perairan
Nusantara.
Sumber-sumber sedia ada
seperti yang dijelaskan oleh Owen Rutter, James Warren dan bebarapa penulis
barat amat berkait dengan sumber tempatan.Menurut beberapa catatan bahawa Raja
Satebuk juga turut terlibat merancang menyerang kedudukan Francis Light di Pulau
Pinang yang dibuka 1786. Selepas peristiwa Riau Johor 1781, di mana kerajaan
Kedah pada masa itu berada di bawah pentadbiran Sultan Abdullah telah mendapat
maklumat berkaitan serangan orang Iranun ke atas Belanda di Raiu Johor, yang
mana Belanda dapat ditewaskan oleh orang Iranun, maka baginda menawarkan kepada
orang Iranun untuk menyerang Francis Light di Pulau Pinang bagi menggagalkan
hasrat barat menguasai Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai pusat perniagaan
penting. Kerajaan Kedah sanggup membayar $20,000.00 kepada etnik Iranun.
Tawaran ini telah diterima oleh Raja Satebuk dan mereka berkampung di Sungai
Perak bagi menunggu arahan sultan (Warren: 2002:61). Namun serangan ini tidak
diteruskan dan orang Iranun kembali ke Tempasuk. Orang Iranun mengawal perairan
Utara Borneo (Leigh Wright:1981:7), di mana Tempasuk merupakan pusat kegiatan
utama mereka. Keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh peranan politik di
sekitar nusantara terutama ancaman barat terhadap kuasa-kuasa tradisional yang
sedia ada.Peranan Raja Satebuk terhadap pentadbiran Tempasuk telah berjaya
mengekalkan penguasaan mereka di laut sehingga gelaran lanun atau perompak laut
menjadi sinonim dengan orang Iranun. Beberapa tindakan Raja satebuk dilihat
sebagai mengancam kedudukan kuasa-kuasa barat, antaranya serangan Raja Satebuk
terhadap Ambong pada 1880an.
Akibat tindakan tersebut Raja Brooke yang
menguasai Sarawak pada masa itu telah menghantar pegawainya untuk menyiasat
serangan tersebut (Ivor Evan: 1922:261).Apa yang jelas Kuasa Tempatan Iranun di
Tempasuk telah banyak menyumbang kepada kegiatan menentang kuasa barat yang
menjajah negeri-negeri Melayu di nusantara.
Walaupun ada sesetengah dakwaan ahli sejarah
barat, bahawa etnik Iranun adaalah golongan perompak laut atau ‘Lanun’ yang
terlibat dalam perdagangan manusia iaitu hamba. Namun usaha etnik ini mengekang
imperialisme barat amat mendapat perhatian kuasa-kuasa barat seperti Portugis,
Sepanyol, Belanda dan British. Kuasa-kuasa barat ini telah menghadapi tentangan
sengit daripada etnik Iranun terutama ketika berlaku pertembungan di laut.
Kesan terhadap penentangan ini, pihak barat telah mengalami kerugian serta
korban besar. Pihak barat juga terpaksa melipatgandakan kekuatan pertahanannya
untuk berhadapan dengan etnik Iranun terutama di lautan. Akibatnya juga etnik
Iranun terus menjadi buruan dan ada yang menukar identiti mereka untuk tujuan
keselamatan.
No comments:
Post a Comment